Kadar tol bagi lima lebuhraya, termasuk Lebuhraya Utara Selatan (Plus) naik sebanyak 5 peratus mulai 1 Mac ini.

Empat lagi leburaya ialah Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Ir Mohamad Zin Mohamad.

Kadar kenaikan tol terbabit adalah seperti berikut:

  • Lebuhraya Utara-Selatan (Plus): Kadar kenaikan tol untuk sistem kutipan tol tertutup Plus dinaikkan 0.68 sen sekilometer bagi kereta. Bagaimanapun, kenaikan ini tidak membabitkan tol di Plaza Tol Bukit Kayu Hitam, Tambak Johor dan Bangunan Sultan Iskandar.
  • Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint). Plaza tol Pantai: naik 50 sen dari RM1.50 kepada RM2 (naik 33) dan Plaza tol Damansara: naik 30 sen dari RM1 kepada RM1.30 (naik 30%).
  • Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh)(Lebuhraya E12): Kadar tol dinaikkan sebanyak 50 sen bagi kereta – dari RM1.50 hingga RM2 (naik 33%).
  • Kadar tol Lebuhraya Sungai Besi (Besraya): Kadar tol dinaikkan sebanyak 10 sen bagi kereta – dari RM1.30 kepada RM1.40 (naik 7.7%). Bayaran hanya dibuat di Plaza Tol Mines kerana Tol Salak Selatan Jaya telah ditutup mulai semalam.
  • Lebuhraya Baru Pantai (NPE): Kadar tol dinaikkan sebanyak 40 sen bagi kereta – dari RM1.60 kepada RM2 (naik 25%).

Timbalan Menteri antara yang terkejut tol naik

Beberapa wakil rakyat malahan seorang timbalan menteri terkejut dengan pengumuman kenaikan kadar tol di lima lebuh raya bermula 1 Mac ini.

Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) menyifatkan kenaikan kadar tol pada masa kini tidak wajar.

“Baru-baru ini sudah diberitahu bahawa kerajaan akan beri keutamaan kepada rakyat dalam apa saja keputusan bila ada syarikat konsesi meminta kenaikan tol, tapi saya terkejut bila dapat maklumat harga tol akan dinaikkan bermula Ahad ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *