Dokumen minta Pusat pertimbang kontrak RM1b. kepada firma lain dihebah kepada umum

GEORGETOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon mahu siasatan menyeluruh dibuat berhubung kebocoran suratnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berhubung pemberian kontrak bernilai RM1 bilion kepada Motorola Inc (Motorola).

Sambil menegaskan surat itu berstatus sulit, beliau berkata, ia tidak patut didedah kepada umum termasuk pembangkang dan siasatan menyeluruh perlu dibuat segera.

Koh menafikan surat kepada Abdullah untuk menawarkan projek RM1 bilion kepada Motorola adalah cubaan untuk menyogok syarikat gergasi telekomunikasi itu meneruskan operasinya di sini.

Koh yang buat pertama kali menjelaskan isu itu berkata, beliau menulis kepada Perdana Menteri meminta Kerajaan Persekutuan menimbang semula cadangan untuk memberi kontrak menaik taraf sistem komunikasi kepada syarikat lain atas alasan teknikal dan demi kepentingan lebih 10,000 pekerja.

“Kita sudah menggunakan sistem Motorola sejak 15 tahun lalu. Sudah semestinya kita menggunakan pembekal dan sistem yang sama, jika kita mahu menaik taraf sistem itu.

“Saya yakin tindakan saya betul dengan memujuk Motorola kekal melabur di negeri ini demi kepentingan rakyat Pulau Pinang.

“Tindakan saya itu dapat menyelamatkan 4,000 pekerja Motorola daripada kehilangan kerja, selain kira-kira 6,000 pekerja syarikat pembekal kepada Motorola,” katanya pada sidang media mengulas dakwaan calon DAP Parlimen Jelutong, Ooi Chuan Aun, kononnya Koh memutar-belitkan fakta apabila mengumumkan Motorola melabur RM350 juta lagi di negeri ini, baru-baru ini.

Ooi dalam satu ceramah politik mendakwa, Pulau Pinang ‘merasuah’ Motorola untuk kekal di negeri ini dengan memberi kontrak alat telekomunikasi keselamatan bernilai RM1 bilion.

Motorola menggunakan Malaysia untuk strategi pemasarannya bagi produk komunikasi dua hala seluruh dunia terutama dalam sistem keselamatan komunikasi.

Koh berkata, pemberian kontrak itu tidak dapat dielakkan berikutan persaingan penawaran pelaburan daripada negara lain, khususnya China dan Vietnam.

“Saya terpaksa membuat keputusan pantas dan memaklumkan Abdullah mengenai kepentingan pemberian kontrak berkenaan kepada Motorola yang mungkin beralih ke negara lain.

“Saya yakin pemberian kontrak bernilai RM1 bilion itu tetap menguntungkan negara khususnya Pulau Pinang kerana Motorola sudah melabur RM5 bilion sejak 30 tahun lalu. Bagaimana mereka hendak memasarkan produk mereka ke seluruh dunia jika kerajaan kita memutuskan untuk menggunakan sistem lain.

“Keputusan syarikat itu untuk kekal bermakna mereka akan membuat lebih banyak pelaburan pada masa depan. Ia tentunya menguntungkan rakyat dan negara,” katanya.

Koh berkata, keputusan awal kerajaan untuk tidak memperbaharui kontrak itu menjejaskan imej Motorola yang menempatkan kilang dan pusat R&D (penyelidikan dan pembangunan) tunggal untuk alat telekomunikasi keselamatan di sini, selain mengambil 1,000 anak tempatan sebagai pereka.

“Ia juga mendorong Motorola untuk mengubah operasi ke negara yang mahu bekerjasama dengan mereka termasuk menggunakan produk mereka,” katanya.

Dari segi perolehan cukai, beliau berkata, kerajaan menjangkakan akan mendapat kira-kira RM1 bilion dalam jangka masa 10 tahun akan datang daripada syarikat itu.

By: Fazallah Pit

Source : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *